AYER KEROH: Tindakan seorang peniaga membunuh dengan memijak kepala seorang lelaki yang tidak dikenali sehingga menyebabkan kematian, enam tahun lalu membawa padah apabila dijatuhi hukuman gantung  oleh Mahkamah Tinggi Melaka hari ini.

Hakim Datuk Ahmad Nasfy Yasin menetapkan hukuman itu terhadap tertuduh, S Pandiaraj, 33, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie pada akhir kes pembelaan.

Ahmad Nasfy dalam penghakimannya berkata, mahkamah mendapati kecederaan yang dialami mangsa, S Ammos Devaprraven, yang ketika itu berusia 27 tahun sehingga menyebabkan kematian tidak konsisten dengan kemalangan jalan raya.

Sebaliknya, berdasarkan penelitian keterangan saksi pendakwaan dan disokong oleh saksi forensik, tindakan tertuduh sendiri telah menyebabkan kecederaan fatal (membawa kematian).

Justeru katanya, selepas melakukan pertimbangan, mahkamah turut berpuas hati bahawa tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Terdahulu, mengikut pertuduhan, tertuduh bersama dua lagi yang masih bebas didakwa bagi mencapai niat bersama telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap mangsa dalam kejadian di Jalan Tun Ali, kira-kira 4.30 pagi, pada 23 Oktober 2016.

Kes dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Ahmad Sazali Omar dan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Nabilalif Mohd Rosli manakala tertuduh diwakili peguam Paul Krishnaraja.

Pihak pendakwaan dalam hujahannya memaklumkan, mangsa telah dipijak selama seminit di bahagian kepala oleh tertuduh selepas lelaki itu tidak berpuas hati dengan kata-kata yang dikeluarkan oleh mangsa.

Mangsa kemudian dibawa ke hospital oleh dua individu, dan membuat laporan palsu bahawa si mati telah dilanggar lari sebelum memaklumkan perkara sebenar bahawa mangsa sebenarnya telah dipijak di muka.

Pendakwaan dibuat mengikut seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Seramai 16 saksi pendakwaan dikemukakan sepanjang prosiding berjalan sejak tahun 2018 lalu.